Pada Pelayaran Kapal Sabut
oleh: sadry el-metafor
Februari 2011, sebuah perjalanan…
tepi Selat Melaka…
Tepat di mana kapalku berhanyut pada matlamat pelayaran. Layar menghala ke tangisan ombak semasa, menyaksikan kanak-kanak belia menjala todak di alur Selat Melaka. Ke manakah lesap tuan-tuan negerimu? Sabutku merayap-rayap.
tepi Sungai Siak…
Dalam cericau burung mencumbui tepian pantai, perahuku masih tegar berkayuh penat memuja Tuhan untuk tuan-tuan yang lupa tahta berpijaknya. Mungkin tuan, engkau akan surut dalam pasang yang menelentangkan riuhnya gemuruh. Pelepah tematu menyapa memberi isyarat, jangan melabuhkan diri di sini!
Pulau kecil merisau, askarnya berceracau, namun tuannya kecut dalam mimpi dan igau. Kursimu di kerajaan demokrasi gantikan saja dengan sabutku. Terlalu lena engkau berpangku.
Makin ke hulu bahteraku berkayuh, terpampang si hawa dengan kerudungnya berkayuh sampan mencari ikan. Ke manakah suaminya?
Lagi dan lagi asinnya hari terjilat di celah sabutku. Air mata rakyat bercampur di sana.
Tuan negeri, celikkanlah biji mata hatimu. Kapal sabutku tak kuasa menahan curamnya nasib rakyat Tuhanku.
Beringsut ke hulu-hilir pelayaran, anak-anak negeri terlihatlah mereka terjerat tanpa ilmu. Mengais hari di tengah asinnya samudra. Nelayan yang tak berdaya mencengkram pada tengker minyak besar yang menguras kekayaan alam Tuhan. Mereka menepi.
tepi dermaga Sungai Duku…
Olengnya perahu sabutku di penantian ini seperti kelelahan membayangkan kedua kakiku berpacak di tanah negeri berdosa, tanpa iba tuan-tuan negeri. Harap.
Bilikminda, maret 2011